
Alam Ghaib: Penyakit ‘Ain dan Sihir, serta Perlindungan menurut Al-Quran dan Hadith
Penyakit ‘ain dan sihir merupakan antara ujian tersembunyi yang menimpa ramai tanpa disedari. Kesannya terhadap kesihatan, hubungan sesama manusia dan ketenangan jiwa adalah nyata sebagaimana telah dijelaskan dalam al-Qur’an dan Sunnah.
Sesi ini akan mengupas realiti gangguan ghaib, cara membezakan antara ujian yang zahir dan yang tersembunyi serta panduan Nabi ﷺ dalam mencari perlindungan, kekuatan dan ketenangan.
Dengan kebergantungan kepada Allah, amalan yang berterusan dan penghayatan hadith dan sunnah Baginda ﷺ, kita akan menemukan kekuatan, penyembuhan dan perlindungan daripada ujian-ujian alam ghaib ini.
Pembentang:
(1) Ustazah Nadia Hanim A.R
(2) Ustazah Shameem Sultanah
(3) Ustazah Halimah Alaydrus
(4) Ustazah Nurul 'Izzah
Acara ini adalah Khusus Wanita
SESI 1
Memahami Alam Ghaib: Hakikat ‘Ain dan Sihir dalam Perspektif Islam
Alam ghaib itu suatu hakikat yang nyata, sebagaimana telah dijelaskan dalam al-Qur’an dan hadis Nabi ﷺ.
Sesi ini akan membuka pemahaman tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan alam ghaib, penyakit ‘ain dan sihir.
Dengan memahami agama, konsep dan realiti gangguan ghaib, kita dapat mengelakkan ketakutan yang tidak perlu dan berlebihan, menghapuskan kepercayaan salah dan menguatkan keyakinan kepada Allah sebagai Pelindung yang sebenar.
SESI 2
Hasad: Racun Hati yang Menjadi Punca ‘Ain
Punca ‘ain boleh bermula daripada kekaguman, namun punca terbesarnya ialah hasad penyakit hati yang halus tetapi merosakkan. Dalam era media sosial, penyakit ini semakin berleluasa kerana manusia mudah dibandingkan dan hati pula cepat merasa kurang, tidak cukup atau cemburu dengan apa yang dilihat.
Sesi ini membedah bagaimana hasad timbul, bagaimana ia boleh membawa kepada ‘ain, serta kesan buruknya terhadap hubungan sesama manusia. Hasad mampu memorak-perandakan hidup, merosakkan persaudaraan dan menghapuskan ketenangan jiwa.
Sesi ini juga akan menyentuh bagaimana menjaga hati daripada budaya perbandingan, serta langkah-langkah menyucikan jiwa agar kita tidak menjadi punca mudarat, sama ada kepada orang lain atau diri sendiri.
SESI 3
Zikir sebagai Benteng Terkuat: Mengapa Sukar Yakin dan Mengamalkannya?
Ramai bertanya sama ada sakit seseorang berpunca daripada faktor psikologi, perubatan atau gangguan ghaib seperti ‘ain dan sihir. Islam mengiktiraf kesemuanya, kerana manusia terdiri daripada jasad, akal dan roh.
Rawatan medikal dan psikologi adalah ikhtiyar yang sah dan digalakkan, namun seorang Muslim tidak boleh mengabaikan zikir benteng harian. Ia adalah perlindungan yang diajarkan Nabi ﷺ tetapi sering dipandang ringan dan hanya diamalkan apabila musibah datang.
Sesi ini akan menjelaskan mengapa hati manusia sering sukar yakin dengan kekuatan zikir, walaupun ia merupakan perisai rohani paling teguh. Ia juga akan menerangkan bagaimana memperkukuhkan amalan ini, agar kita tidak mengingati Allah hanya ketika diuji, tetapi menjadikan zikir sebagai bekalan dan benteng harian sepanjang hidup.
SESI 4
Rawatan yang Sahih untuk ‘Ain dan Sihir
Ramai yang mencari rawatan apabila berdepan gangguan ghaib, namun tidak semua bentuk rawatan berlandaskan syariat. Sebahagiannya bercampur aduk dengan unsur syirik, khurafat atau amalan yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah ﷺ.
Sesi ini memberikan panduan jelas tentang ruqyah syar‘iyyah, rawatan yang menepati sunnah, bebas daripada unsur terlarang dan disertai keyakinan penuh kepada Allah.
Sesi ini juga akan membincangkan mengapa kita tidak sepatutnya terlalu panik apabila diuji dengan ‘ain atau sihir, sehingga mengambil pendekatan yang tergelincir daripada ajaran Islam. Kurang sabar dalam menghadapi ujian sering membuat seseorang mencari jalan pintas, sedangkan pertolongan Allah datang bersama kesabaran, doa dan amalan yang benar.
http://tinyurl.com/alamghaib170126
http://tinyurl.com/uha-alamghaib